Thursday, January 13, 2011

Hukum muzik, nyanyian serta alat muzik

Share



Persoalannya: Jika kecenderungan manusia terhadap irama muzik, lagu dan nyanyian itu menjadi antara faktor penting kepada dorongan hati dan fitrah semulajadi manusia ciptaan Allah itu. Apakah wajar agama itu datang untuk memerangi sesuatu yang disukai naluri manusia (yang memang diciptakan Allah sedemikian) dan menimpakan bencana kepada mereka?

Jawapannya: Sama sekali tidak. Agama itu datang untuk mendidik, mengasuh, mengangkat dan menjuruskan kita kepada kebenaran. Al-Imam Ibn Taimiyah pernah menyatakan "Sesungguhnya para Nabi itu diutuskan Allah bagi menyempurnakan akhlak, fitrah manusia dan kemudian memantapkannya lagi, bukannya untuk menukar ganti serta merubah sesuatu kepada yang baru".

Insiden ketika Rasulullah Saw datang ke Madinah, ketika itu penduduk Madinah telah dua hari berpesta, bermain dan bergembira. Lantas Rasulullah Saw bersabda (bertanya): "Untuk apa anda gunakan selama dua hari ini?"

Mereka menjawab:"Untuk kami bermain dan bersuka ria kerana permainan ini telah diwarisi turun temurun dari zaman Jahiliah lagi"

Kemudian Rasulullah Saw bersabda: "Sesungguhnya Allah Swt telah menggantikan untuk anda semua (dari permainan zaman jahiliah itu) dengan sesuatu yang lebih baik dari dua hari itu, yakni dua hari raya, Aidil Fitri dan Aidil Adha" Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Nasa'i

HUKUM NYANYIAN & MUZIK - adalah HARUS (tetapi dengan bersyarat)

Pelbagai pendapat ulama FIQH (Fekah) terhadap hukum nyanyian dan muzik dikemukakan dan kebanyakannya bersepakat untuk menetapkan bahawa hukum nyanyian dan muzik itu adalah HARUS, yakni harus yang bersyarat. Dimana, jika syarat-syarat itu (yang akan dinyatakan dibawah ini) tidak disempurnakan atau dipatuhi, maka hukum HARUS itu akan berubah menjadi HARAM mengikut lunas-lunas hukum dan peraturan Islam yang difirmankan Allah kepada kita.

SYARAT-SYARATNYA & SITUASI-SITUASI  YANG MERUBAH HUKUM HARUS KEPADA HARAM

1. Nyanyian itu hendaklah dengan sopan santun Islam dan selaras pula denga ajarannya.

2. Tidak boleh menyanyi dengan lirik yang 'lagha' serta nyanyian yang menyanjung pemerintah yang zalim, pemerintah yang melampaui batas dan pemerintah yang fasiq. Islam mengutuk orang yang zalim, pembantu-pembantu mereka dan orang-orang yang diam melihat kezaliman mereka. Begitu juga diharamkan semua lirik lagu dan nyanyian yang menyanjung wanita bermata keranjang atau nyanyian yang bertentangan dengan adab sopan santun Islam yang mana Firman-Nya menyeru sebagaimana Firman Allah (Surah An-Nur:Ayat 30): Katakanlah kepada lelaki yang beriman, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka (dari wanita yang bukan mahram/ ajnabi) dan Firman Allah (Surah An-Nur:Ayat 31): Katakanlah kepada kaum wanita yang beriman, hendaklah mereka menutup pandangan mereka (dari perkara yang tidak baik dan lelaki yang bukan mahram).

3. HARAM jika nyanyian itu disampaikan oleh wanita (bukan mahram) yang diharamkan Allah bagi lelaki lain memandangnya kerana bimbang akan berlaku fitnah. Di situasi ini bukan nyanyian yang dilarang tetapi keadaan wanita yang menyanyi itu yang boleh mendatangkan ghairah 'nafsu seks' peminatnya dan menjadi fitnah kepada agama Allah. Menurut Imam Al-Ghazali larangan mendengar nyanyian dengan alasan bimbang berlaku fitnah (perkara yang tidak bermoral dan segala macam gejala sosial) adalah pendapat yang kuat. Walaupun Rasulullah Saw pernah berhadapan situasi yang sama apabila dua orang penyanyi wanita menyanyi di rumah Aisyah r.a., Rasulullah Saw tidak menjauhinya kerana Baginda tidak bimbang berlaku fitnah ke atas dirinya kerana Rasulullah Saw itu maksum (terlindung dari sebarang perbuatan dosa oleh Allah Swt). Peristiwa ini menunjukan bahawa situasi Rasulullah Saw dengan situasi kita pada hari ini adalah sangat ketara bezanya.


4. HARAM jika muzik yang dimainkan itu termasuk simbol kepada muda mudi terhadap wanita atau mampu mempengaruhi penghayatan peminum arak dan penagih dadah untuk mengekalkan tabiat mereka itu seperti alunan petikan gitar dan tiupan seruling yang mendayu-dayu, maka ia akan berubah kepada haram, walaupun pada permulaannya hukum bagi alat muzik itu adalah harus.

5. HARAM jika nyanyian itu mempunyai kata-kata kesat, kotor dan keji serta cercaan yang mendustakan Allah, Rasulullah dan para sahabatnya sebagaimana syair golongan Rafidhah yang jelas mencela para sahabat dan lain-lain.

6. HARAM jika nyanyian itu mencerminkan atau menceritakan tentang keangkuhan kaum wanita dihadapan kaum lelaki seperti lagu 'Tamparan Wanita' atau lain-lain lirik yang serupa dan menyamai dengannya.

7. HARAM jika lagu itu menyebabkan kita berkhayal tentang seseorang samada lelaki atau wanita tertentu yang bukan suami atau isteri kepadanya, yang sah jika berkahwin dengannya kerana perbuatan berkhayal kepada yang bukan hak itu adalah maksiat yang dilakukan melalui kaedah khayalan dan fikiran. Harus pula jika ia mengkhayalkan wanita atau lelaki yang telah halal kepadanya.


8. HARAM jika orang yang mendengar nyanyian itu masih muda dan mudah dirangsang oleh nafsu syahwatnya. Ini biasa berlaku kepada mereka yang masih remaja, yang masih belum tahu menilai dan membuat pertimbangan terhadap halal haramnya suatu perhubungan cinta dengan pasangannya.

9. HARAM jika kita membiasakan diri dan dengannya kita menjadi ketagih atau menjadikannya nyanyian itu sebagai rutin harian kehidupan. Jika semua ini dilakukan secara berterusan akan menjadikan ia makruh dan amat dibenci Allah. Jadi, semua perkara berhubung lagu, muzik dan nyanyian yang pada asal hukumnya adalah harus itu tidak akan kekal sebagai harus apabila ianya dilakukan secara berlebih-lebihan.

10. HARAM jika dengan muzik, nyanyian atau lirik sesuatu lagu itu boleh menyumbang kepada berkumpulnya lelaki dan wanita yang bukan mahram dalam satu konsert yang menyebabkan berlakunya pergaulan bebas dan berseronok tanpa batasan agama.

Ibnu Majah meriwayatkan sebuah hadis dari Abi Malik Al-Asyaari bahawa Rasulullah Saw bersabda: "Akan ada satu golongan dari kalangan umatku yang akan meminum arak yang mereka namakan dengan nama lain (black label, whisky, champagne dan sebagainya), bermain dengan alat-alat muzik bersama dengan penyanyi-penyanyi wanita. Allah Swt akan menenggelamkan mereka ke dalam tanah (apabila dia mati dan telah dikebumikan kelak), dan merubah rupa paras mereka menjadi seperti kera-kera (monyet) dan khinzir-khinzir (babi)". Ibn Hibban meriwayatkan hadis yang sama dalam 'Shahih'nya dan begitu juga Imam Bukhari meriwayatkannya dalam 'Tarikh'nya.


KHILAF ULAMA - TENTANG ALAT MUZIK YANG HARAM
Ada Ulama yang berpendapat bahawa Seruling, Gitar dan Gendang adalah dilarang kerana ia merupakan simbol bagi anak-anak muda yang suka berfoya dan ada antara alat itu juga menyerupai wanita.

gambus

rebana
Namun, keharusan menggunakan Gambus dan Rebana adalah berdasarkan kepada beberapa hujah dari ulama yang membawa riwayat-riwayat dari para sahabat Rasulullah Saw dan ulama-ulama terkenal. Abu Al-Fadl bin Thahir dalam karyanya As-Sama' menyatakan tidak ada perselisihan antara ahli Madinah dalam mengharuskan Gambus. Ibn Tahir juga menyatakan perkara yang sama dan inilah pendapat yang dipersetujui oleh seluruh golongan Az-Zahiriyyah.

Al Mawardi meriwayatkan bahawa sebahagian golongan Asy-Syafiyyah juga mengharuskan alat muzik Gambus dalam mengiringi nyanyian. Riwayat yang sama ini juga disampaikan oleh Abu Al-Fadl bin Thahir, Ibn Ishaq Asy-Syirazi, Al Asnawi dalam karyanya Muhimmat, Ar Rauyani, Ibn Al-Mulaqqan dalam karyanya Al-Umdah, Ibn Thahir, Al-Adfawi dan begitu juga Asy-Syeikh Izzuddin bin Abd Salam, Al-Afdawi dalam karyanya Al-Imta dan Abu Bakar bin Al-Arabi. Kesemua mereka ini juga berpendapat mendengar nyanyian yang diiringi muzik gambus dan rebana adalah diharuskan. Apa-apa yang selain dari alat muzik yang diharuskan adalah dilarang.

SEMUA ULAMA SEPAKAT DALAM KEHARUSAN MENDENGAR NYANYIAN TANPA DIIRINGI ALAT MUZIK DENGAN LIRIK YANG BAIK ATAU BERUNSUR AGAMA DAN DAKWAH


 KESIMPULANNYA
Saudara dan Saudari, Muslimin dan Muslimat yang saya kasihi, MAMPUKAH KITA mengelak atau mengetepikan syarat-syarat yang JELAS di atas bagi mengharuskan kita menikmati nyanyian? Jika kita mampu melaksanakan syarat-syarat di atas, maka tidaklah menjadi HARAM kepada kita mendengar nyanyian.

Harus di ingat bahawa kaitan dosa ke atas sesuatu perbuatan yang hukumnya HARAM adalah seperti kaitan berhubung haramnya arak. Peminum, tukang proses, pengilang, pengedar, orang yang menyediakan pengangkutan dan orang yang menghantar arak kepada peminumnya dan apa sahaja aktiviti yang menyumbang kepada bantuan kepada penggunaan arak adalah dilaknati Allah Swt.

Kalau dalam muzik, pendengar (kita), pembeli CD (kita), penonton konsert (kita), penyanyi, pencipta lagu, penulis lirik, pemuzik, syarikat rakaman, pengedar, pencetak CD, pekerja studio rakaman dan semua yang berkaitan dengannya adalah turut mendapat laknat Allah Taala jika kita GAGAL mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan di atas bagi mengharuskan kita kepada Muzik dan Nyanyian. WASSALAM.

source: http://www.facebook.com/Firman.AllahSwt

No comments: