Friday, November 5, 2010

Hukum Ucap Happy Deepavali

Share
Entry ini tiada unsur racisme ye...
sekadar renungan bersama





SUMBER 1: Utusan Malaysia ~ 29/10/2010

Soalan 2:


Apa hukumnya mengucapkan Selamat Deepavali kepada mereka yang beragama hindu dan menghadiri jemputan rumah terbuka mereka?


Jawapan:


Di sini ustaz menterjemahkan satu kenyataan Prof. Dr. Yusof al-Qaradawi dari laman web Islam-0nline tentang memberi ucapan pada hari-hari kebesaran orang bukan Islam, Maksudnya: Dan dia (al-Qaradawi) berkata tentang mengucap tahniah kepada perayaan Yahudi dan Kristian: "Ini (ucap tahniah) termasuk daripada hak-hak bersama. Jika seorang ahli kitab datang dan mengucapkan tahniah kepada kamu dengan perayaan kamu, dan dia berkongsi kedukaan dan musibah kamu, dan dia mengucapkan takziah kepada kamu dengan kedukaan dan musibah tersebut.


"Maka apakah pula yang melarang kamu memberi tahniah dengan perayaannya dan dalam kegembiraannya dan kamu ucap takziah dalam musibah yang menimpanya.


Allah berfirman: Apabila kamu dihormati dengan satu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik, atau balaslah dengan yang serupa. (al-Nisa': 86 )


Ini tidaklah bermakna kita menyambut perayaan mereka bersama mereka. Sebaliknya kita hanya mengucapkan tahniah sahaja. Inilah daripada kebaikan dan keadilan yang datang bersama agama ini (Islam)".


Jelas, bahawa mengucapkan selamat deepavali kepada kenalan dan kawan-kawan kita yang beragama hindu tidak dihalang dalam Islam.


Apa yang mustahak dalam hal ini ialah tujuan kita mengucapkannya bukan untuk menyambutnya bersama. Malah yang demikian adalah demi menghormati budaya dan adat orang lain.


Saya juga yakin dengan menghormati hari-hari kebesaran orang bukan Islam sedikit sebanyak dapat memecahkan tembok salah faham Islam.


Dengan demikian agama Islam akan menambat hati-hati mereka kerana keindahan ajarannya yang sarat dengan ihsan dan kebijaksanaan sekali gus menjadikan Islam agama yang dihormati.


Ada juga suara-suara yang agak lantang dalam hal ini, sehingga menghalang kita mengucapkan apa-apa ucapan, kononnya dengan mengucap selamat deepavali, selamat krismas atau apa-apa ucapan hari kebesaran orang bukan Islam semacam kita mengiktiraf dan menyambutnya.


Alasan ini sangat tidak patut, ini kerana kalau musim deepavali tidak ucap happy deepavali nak ucap apa untuk kenalan dan jiran tetangga?


Bukannya ada ucapan lain yang boleh menggantikan happy deepavali. Kalau ada bolehlah kita mengucap dengannya.


Setahu ustaz, itulah ucapan yang ada untuk kita ucapkan kepada masyarakat india yang beragama hindu.


Teringat saya pada pesanan seorang guru saya, katanya: "Buatlah baik pada manusia wahai Farid nescaya kamu dapat memperhambakan hatinya".


SUMBER 2: Coretan Mujahadah


Soalan :
Apakah hukum mengucapkan Happy Deepavali kepada penganut agama Hindu dan menghadiri rumah terbuka perayaan berkenaan ?
TQ


Jawapan :
Laman islam-0nline memuatkan salah satu kenyataan al-Qaradhawi yang berbunyi :


ويقول في تهنئة اليهود والنصارى في أعيادهم :
هذه حقوق مشتركة، فإذا كان الكتابي يأتي ويهنئك ويعيد عليك في عيدك ويشارك في أتراحك ومصيبتك فيعزيك بها، فما المانع من أن تهنئه بعيده وفي أفراحه وتعزيته في مصيبته؟ الله سبحانه يقول: “وإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا” (النساء: 86)، وهذا لا يعني أن نحتفل معهم، إنما نهنئ فقط، وهذا من البر والقسط الذي جاء به هذا الدين



Maksudnya lebih kurang : Dan dia (al-Qaradhawi) berkata tentang mengucap tahniah kepada perayaan Yahudi dan Kristian : “Ini (ucap tahniah) termasuk dari hak-hak bersama. Jika seorang ahli kitab datang dan mengucapkan tahniah kepada kamu dengan perayaan kamu, dan dia berkongsi kedukaan dan musibah kamu, dan dia mengucapkan ta’ziah kepada kamu dengan kedukaan dan musibah tersebut. Maka apakah pula yang melarang kamu dari memberi tahniah dengan perayaannya dan dalam kegembiraannya dan kamu ucap takziah dalam musibah yang menimpanya. Allah berfirman : “Apabila kamu dihormati dengan satu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik, atau balaslah dengan yang serupa.” (al-Nisak : 86). Ini tidaklah bermakna kita menyambut perayaan mereka bersama mereka. Sebaliknya kita hanya mengucapkan tahniah sahaja. Inilah daripada kebaikan dan keadilan yang datang bersama agama ini (Islam).”


Berdasarkan kenyataan ini, yang hanya dibenarkan adalah ucap tahniah dengan perayaan. Adapun menyambut bersama ia tetap terlarang. Maka kita tidak menghadiri rumah terbuka mereka, kerana itu termasuk sebahagian daripada merayakan perayaan mereka.


SUMBER 3: Halaqah dot Net


Hukum Merayakan Perayaan Kaum Bukan Islam


Mengucap tahniah kepada kaum bukan Islam sempena hari-hari kebesaran agama mereka seperti hari Krismas, Deepavali, Thaipusam dan sebagainya, termasuk antara masalah furu' (cabang) dalam akidah Islam yang diperselisihkan antara ulama pada zaman ini. Perselisihan pendapat antara ulama mengenai hukum itu, pada berpunca daripada tasawwur yang kurang jelas terhadap maksud ucapan selamat hari-hari kebesaran kaum Islam yang dikemukakan itu.


Jika maksud pengucapan itu adalah ikut serta berhari raya, merelai kekufuran kaum bukan Islam dan berkasih sayang dengan mereka atas nama agama, maka sememangnya haram dan sama sekali tidak boleh dilakukan. Jika maksud ucapan selamat hari-hari kebesaran kaum bukan Islam itu tidak lebih daripada hanya ikut bercuti pada hari itu, membalas ucapan selamat Hari Raya yang diucapkan terdahulu, atau hanya memperlihatkan rasa senang hati dengan kegembiraan mereka berhari raya, maka pengucapan seumpama ini tidak termasuk dalam hal-hal akidah yang sekali gus menunjukkan rela hati terhadap agama dan kepercayaan mereka.


Meneliti beberapa fatwa yang dipamerkan melalui laman-laman web, seperti Islam-Online.net, Islam.qa.net. Islamweb dan lain-lain, didapati beberapa ulama terkemuka di dunia Islam kini turut memfatwakan hukum merayakan hari-hari kebesaran kaum-kaum bukan Islam. Antara mereka yang mengeluarkan fatwa dan pendapat ialah:


1.Muhammad Saleh al-Munajjid
Seorang ulama dan ahli majlis fatwa kerajaan Arab Saudi. Beliau berpendapat hukum mengucap tahniah kepada bukan Islam pada hari-hari kebesaran mereka seperti hari Krismas dan sebagainya adalah haram dan bertentangan asas-asas akidah Islam. Alasan beliau ialah:


Pertama: Hari perayaan agama kaum bukan Islam pada hakikatnya adalah syiar agama mereka. Umat Islam disuruh supaya tidak meniru syiar dan budaya kaum bukan Islam. Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Barang siapa meniru syiar sesuatu kaum (bukan Islam), maka ia daripadagolongan mereka - (riwayat Abu Dawud bilangan 4031. Musnad Ahmad Ibn Hanbal, bilangan 5093).


Kedua: Dalam suatu kaedah, ulama Islam telah mengambil ketetapan iaitu merelai kekufuran adalah kufur. Ikut serta berhari raya dengan kaum bukan Islam, serta mengucap tahniah dan selamat Hari Raya kepada mereka, adalah antara tanda kerelaan hati terhadap kekufuran seseorang. Islam menolak
sekeras-kerasnya sikap itu.



Ketiga: Umat Islam dikehendaki bersikap benci terhadap kaum bukan Islam. Mereka wajib mencintai hanya kepada orang mukmin. Sikap ini disebutkan dalam salah satu judul Sahih al-Bukhari iaitu al-Hub fi'llah wa al-bughd fi'llah min al-iman (antara ciri iman ialah cinta dan benci kepada Allah). Inilah juga sikap yang wajib diteladani pada nabi Muhammad s.a.w., iaitu berkeras dengan bukan Islam dan berkasih sayang sesama mukmin (surah al-Fatah: ayat 29).


Sebagai kesimpulan, mengucap tahniah kepada kaum bukan Islam pada hari-hari kebesaran mereka adalah suatu bentuk kasih sayang dan merelai kekufuran mereka. Keadaannya sama dengan merelai berlakunya kejadian-kejadian maksiat dan dosa-dosa seperti zina, minum arak dan sebagainya.


2.Dr. Yusuf al-Qaradawi
Berpendapat: Jika kaum bukan Islam memulakan ucapan selamat Hari Raya mereka kepada kita, maka kita juga harus membalas ucapan yang serupa kepada mereka, kerana ini tidak lebih daripada hanya mewujudkan rasa simpati antara satu sama lain. Ia tidak bermakna bahawa kita telah merelakan agama dan kepercayaan terhadap Isa Maryam sebagai Tuhan dan lain-lain pemujaan.


Al-Qaradawi memberi beberapa alasan, antaranya: Islam tidak melarang kita berbuat baik terhadap ahli kitab yang tidak bermusuh dengan kita. Kita harus berbuat baik kepada mereka, sebagaimana mereka berbuat baik kepada kita. Ayat 8 dalam surah al-Mumtahanah yang dikemukakan terdahulu dijadikan hujah.


Menurut al-Qaradawi lagi, bidang-bidang kerjasama antara Islam dan bukan Islam seperti bidang teknikal, ketukangan dan lain-lain masih terbuka. Bahkan Nabi s.a.w. pernah menggunakan kepakaran seorang Yahudi bernama Abdullah Ibn Urayqit sebagai penunjuk jalan ketika baginda berhijrah ke Madinah.


Peranan Abdullah ini sangat besar, ada kemungkinan jika dia berniat jahat pada ketika itu, kesannya boleh menggagalkan strategi hijrah atau jika dia mengambil kesempatan menipu, maka sudah pasti kesannya sangat buruk kepada Islam dan dakwah, namun baginda tetap menggunakan juga khidmat kepakaran Yahudi yang bukan Islam itu.


Sebagai kesimpulan, Dr. Yusuf al-Qaradawi berpendapat harus bagi kita mengucapkan tahniah dan selamat Hari Raya seperti hari Krismas kepada kaum bukan Islam pada hari-hari kebesaran mereka, kerana Islam tidak menutup hubungan antara dua kaum yang berlainan agama dan kepercayaan ini.


Setelah mempertimbangkan antara dua fatwa yang dikeluarkan oleh al-Munajjid dan al-Qaradawi di atas, kesimpulannya, individu kafir yang dengan terang-terang memusuhi Islam dan umatnya, tidak harus diwujudkan sebarang hubungan pada hari-hari perayaan mereka,sekalipun mereka terdiri daripada ahli kitab.


Sebaliknya kafir yang setia kepada kerajaan Islam, seperti kaum-kaum bukan Islam yang tinggal di Malaysia, jika mereka telah menunjukkan kesetiaan yang baik kepada negara, memberi sumbangan ke arah keharmonian antara kaum serta hormat-menghormati antara kaum, terutamanya dengan masyarakat Islam, maka tiada salahnya kita berkongsi raya dengan mereka dalam hal-hal yang tidak berkaitan akidah dan tidak menyentuh kesucian Islam.

No comments: